KUALA LUMPUR: Hanya seminit diperlukan dua lelaki untuk melarikan wang tunai berjumlah RM50,000 selepas menembak tengkuk seorang pengawal keselamatan dalam rompakan nekad di sebuah bank di Taman Sungai Besi Indah, dekat sini, semalam.
Pengawal keselamatan berkenaan, Mohd Yusoff Abdul Mutalib, 49, dilaporkan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Serdang.
Ketika kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, mangsa sedang membantu seorang pelanggan mengeluarkan wang dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bank berkenaan.
Rakan setugas mangsa, Mickale Dhahaklas, 49, berkata ketika kejadian bank sesak dengan pelanggan dan mangsa pula sedang membantu beberapa pelanggan untuk mengeluarkan wang.
Katanya, dia ada terdengar bunyi satu das tembakan dilepaskan sebelum melihat mangsa terbaring berlumuran darah.
“Ketika kejadian saya berada dekat kaunter,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata, selepas terdengar bunyi tembakan itu, dia bergegas ke arah mangsa sebelum seorang lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh menuju ke arahnya sambil mengacukan sepucuk pistol.
“Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana pada masa sama senjata api milik mangsa dirampas lelaki terbabit,” katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, kedua-dua suspek terbabit yang memakai topi keledar berpenutup penuh dan topi besbal tiba-tiba meluru ke dalam bank itu sambil seorang daripadanya terus bertindak menembak seorang pengawal keselamatan bank berkenaan yang ketika itu sedang membantu beberapa pelanggan mengeluarkan wang di sebuah mesin ATM.
Katanya, tembakan yang mengenai tengkuk mangsa menyebabkan mangsa rebah sebelum senjata api disandangnya dirampas suspek.
Beliau berkata, suspek yang menggunakan sepucuk pistol automatik itu kemudian menyerahkan pistol berkenaan kepada rakannya sebelum meluru ke arah kaunter bank berhampiran.
“Suspek kemudian melompat masuk ke dalam kaunter bank sebelum merampas wang RM50,000. Pada masa sama, seorang lagi suspek mengawal keadaan sekitar sambil memegang senjata api milik mangsa,” katanya.
Menurutnya, lebih kurang seminit selepas itu, mereka meninggalkan bank berkenaan menggunakan motosikal sambil membawa senjata api milik mangsa.
Katanya, suspek kemudian mencampakkan senjata api berkenaan di depan sebuah rumah kira-kira 200 meter di belakang bank itu.
“Siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek adalah warga tempatan berdasarkan pengakuan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam bank berkenaan,” katanya.
Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan dan difahamkan keadaannya kritikal.
ini adalah salah satu bank yg tidak menjaga keselamatan pengawal.sepatutnya pengawal yg bersenjata duduk ditempat yg tersorok bknnye ditempat yg terbuka dan bknnye menolong melayan pelanggan.bank tu kekurangan staff ke..
Tiada ulasan :
Catat Ulasan